Friday, May 18, 2012

Majlis Peguam : Realiti dan fantasi

MK agak tertarik dengan perkembangan yang berlaku melibatkan peguam dan profesion peguam di Malaysia mutakhir ini. Isu ini juga melibatkan tahap profesionalisma dan tatacara amalan guaman yang menjadi pegangan peguam. Isu berkaitan deklarasi Majlis Peguam terhadap Perhimpuan Bersih 3.0 rupa-rupanya telah mengheret Majlis Peguam yang sehingga 28 April 2012 sebagai sebuah badan yang masih berbaki sisa-sisa integritinya.

Isu Majlis Peguam telah mengheret perdebatan dan polemik yang bukan sekadar cakap-cakap tepi sahaja malah telah menjadi bualan ilmiah sebahagian besar warga yang terlibat dengan majlis Peguam mahupun tidak. Dengan EGM Majlis Peguam yang dikatakan tidak cukup korum tetapi telah mengeluarkan deklarasi mengutuk kerajaan dan PDRM seolah-olah merekalah golongan yang paling benar sebenar-benarnya dan tidak ada lain melainkan benar.

Pertama, ramai pihak dari golongan yang bukan peguam melihat Presiden Majlis Peguam Lim Chee Wee agak bias dengan prejudis dan seolah-olah membawa Majlis Peguam kepada suatu pandangan serong terhadap usaha kerajaan mengekalkan keamanan. Pandangan serong Majlis Peguam yang MK rasakan sebenarnya adalah pandangan presiden sendiri membuka pekung dan memberikan sokongan terbuka kepada parti pembangkang. Nada dan kenyataan sinisnya jelas membuktikan bahawa presiden dan sebahagian besar ahli Majlis Peguam yang hadir EGM adalah pro kepada pembangkang.

Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa Majlis Peguam tidak lagi neutral dan berkecuali kepada hal-hal kepartian di Malaysia. Golongan yang merasakan diri mereka cukup pandai dan begitu memahami undang-undang dan perlembagaan tidak dapat menyorokkan lagi topeng diri yang dipakai selama ini. Terbuka, terdedah dan keluarlah segala urat dawai pegangan dan ideologi politik. Tidak sepatutnya pandangan skeptikal begini ditunjukkan oleh Majlis Peguam disaat kepercayaan orang ramai terhadap profesion peguam masih bersisa baki. Adakah mereka tidak kisah lagi dengan pandangan umum yang melihat betapa buruk dan jijiknya perangai peguam yang kononnya mendabik dada sebagai pejuang perlembagaan. Buka sebagai peruntuh, mereka seharusnya mendokong perlembagaan dan undang-undang Malaysia. Rasanya belum pernah berlaku di mana-mana negara lain, suatu badan perundangan yang memiliki mentaliti dan berpersepsi sebegini dalam mendokong nota amalan peguam yang bertunjangkan kepada keihkasan dan kebenaran.

Amaran Nazri Aziz untuk menubuhkan suatu lagi badan kehakiman yang bebas dan mewakili segenap peguam yang ada di Malaysia ditentang keras oleh Majlis Peguam. MK ingatkan mereka tidak tercabar, rupanya mereka juga sama seperti pengamal profesion yang lain. Mungkin mereka agak bimbang kewujudan suatu badan lagi bagi mengimbangi peranan mereka akan meletakkan mereka ditahap yang lebih rendah. Kenyataan Tun mahathir berkaitan perkara yang sama juga memberikan suatu tekanan kepada Majlis Peguam. untuk menolak cadangan tersebut.

MK percaya, bukan setakat MK sahaja yang sudah tidak mempercayai kewibawaan Majlis Peguam, malah sebahagian besar rakyat turut sama tidak memberikan persepsi yang baik kepada Majlis Peguam. Bukan salah MK dan ramai lagi rakyat berpandangan begini, Majlis Peguam harus melihat kembali peranan, tanggungjawab, persepsi, prejudis dan bias yang telah mereka bina selama ini di mata kami. Adakah Majlis Peguam fikir, hanya mereka sahaja yang mempunyai hak di negara ini. Jika nak bercakap soal hak, ketepikan dahulu jawatan dan peranan anda sebagai ahli Majlis Peguam. Tidak guna untuk menegakkan benang yang basah dan memperkatakan hak. Kalau mereka kata mereka ada hak untuk menuntut pihak kerajaan dan PDRM memohon maaf atas apa yang berlaku semasa perhimpunan Bersih 3.0, kami sebagai rakyat biasa juga menuntut hak kami untuk anda memberikan suatu sumbangan yang baik kepada proses demokrasi di Malaysia yang menjadi tanggungjawab Majlis Peguam.

Jangan jadi suatu badan yang memalukan kami sebagai rakyat dan cuba meletakkan diri anda sebagai hero. Sori, kami tidak perlukan hero seperti kamu.
Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Arus Perdana